Sayyidina Hussin dilahirkan di Kota Madinah pada 5 Sya’ban,
 tahun 4 Hijrah. Perbezaan umur di antara Sayyidina Hussin dan abangnya 
Sayyidina Hassan adalah setahun sepuluh bulan. Lahirnya Sayyidina Hussin
 turut menambahkan kegembiraan Rasulullah SAW. Baginda yang memberi nama
 “Hussin” itu yang bermaksud, “Si kecil cantik”.
Sewaktu menyambut
 kelahiran cucu lelakinya yang kedua itu, Rasulullah SAW begitu ceria. 
Sewaktu memangku cucunya itu, tiba-tiba wajah baginda berubah. 
Orang-orang yang berada di keliling baginda merasa hairan mengapa wajah 
baginda tiba-tiba berubah sedih. Rupanya Rasulullah SAW sudah tahu bahwa
 akhir hidup Sayyidina Hussin amatlah menyedihkan di mana beliau akan 
dibunuh dengan kejam.
Sebagai cucu yang
 selalu dipanggil sebagai puteranya, Rasulullah SAW sangat sayang sekali
 dengan Sayyidina Hussin. Pada suatu hari, ketika masih kecil, Sayyidina
 Hussin kelihatan bertengkar dengan abangnya Sayyidina Hassan di hadapan
 baginda dan ibu mereka, Siti Fatimah. Perkara seperti itu biasa berlaku
 di kalangan kanak-kanak. Rasulullah SAW segera menegur Hassan. Siti 
Fatimah merasa kurang senang melihat sikap Rasulullah SAW menegur 
seorang saja dari kedua cucunya itu. Maka Siti Fatimah berkata:
 “Wahai ayah, kenapa menegur Hassan saja?”
 “Karena Jibril sudah menegur Hussin,” jawab baginda.
Tatkala kecilnya Sayyidina Hussin selalu berada di sisi kakeknya, sewaktu
 baginda sedang mengajar para Sahabat. Maka dia mendapat pelbagai ilmu 
dan contoh teladan dari kakeknya itu secara langsung. Sebagaimana 
abangnya, Sayyidina Hussin juga seorang yang cerdik. Dia telah dapat 
menghafal hadith-hadith Rasulullah semenjak kecil.
Sayyidina Hussin 
memang ditakdirkan Allah untuk menjadi seorang yang agung di kalangan 
umat Islam. Semenjak kecil, beliau menunjukkan contoh-contoh akhlak yang
 terpuji sebagai mewarisi sifat-sifat ayah dan kakeknya. Semenjak kecil 
juga, beliau telah menunjukkan sifat berani sebagaimana ayahnya juga. 
Setelah kewafatan Rasulullah, yakni waktu Sayyidina Umar Al Khattab 
menjadi Khalifah, ketika beliau sedang memberi khutbah di mimbar, 
Sayyidina Hussin yang masih kanak-kanak telah berkata kepada Sayyidina 
Umar dengan beraninya,
“Turun engkau dari mimbar ayahku (Rasulullah SAW) dan pergilah berkhutbah di atas mimbar ayahmu.”
Sayyidina Umar yang suka merendah diri menjawab dengan lembut kepada cucu kesayangan Rasulullah itu,
“Ayahku tidak mempunyai mimbar seperti ayahmu.”
Sayyidina Umar 
turun dari mimbar dan mengangkat Sayyidina Hussin untuk duduk di 
sebelahnya sebelum menyambung khutbahnya. Demikian beraninya Sayyidina 
Hussin waktu kecilnya. 
Dalam hal 
keberanian, Sayyidina Hussin melebihi Sayyidina Hassan, abangnya. 
Demikianlah yang telah diwariskan dari Rasulullah SAW untuknya. Belaiu 
banyak menyertai peperangan bersama umat Islam. 
Sewaktu kewafatan Khalifah Sayyidina Ali, Sayyidina Hassan telah
 dilantik sebagai khalifah. Demi menjaga perpaduan umat Islam, akhirnya 
Sayyidina Hassan menyerahkan jawatan itu kepada Sayyidina Muawiyah. 
Sayyidina Hussin tidak setuju dengan tindakan abangnya itu. Namun karena
 menghormati abangnya, maka Sayyidina Hussin mengalah.
Sebelum Muawiyah 
meninggal, beliau telah berwasiat agar anaknya Yazid menggantikan 
tempatnya setelah dia tiada. Waktu itu Yazid memaksa semua para Sahabat 
membuat pengakuan taat setia kepadanya. Ketika
 itu Sayyidina Hussin telah berangkat meninggalkan Kufah, menuju ke 
Madinah. Sebenarnya ramai yang tidak setuju dengan perlantikan Yazid 
itu. Penyokong-penyokong Sayyidina Hussin mengutus surat kepadanya agar 
dia kembali ke Kufah untuk dilantik sebagai Khalifah. Penduduk Kufah 
enggan menerima Yazid sebagai khalifah. 
Sebelum kembali ke Kufah, Sayyidina Hussin telah mengantar utusannya untuk menyelidiki
 apakah benar isi kandungan surat itu. Setelah ternyata ia benar maka 
Sayyidina Hussin bersiap-siap untuk membawa kaum keluarganya kembali ke 
Kufah. Sayyidina Hussin yang sangat baik, tidak sedikit pun menaruh prasangka bahwa suatu yang buruk akan menimpa dirinya dan ahlul bait yang lain.
Para Sahabat Rasulullah yang masih hidup ketika itu menasehati
 Sayyidina Hussin agar jangan kembali ke Kufah karena keadaan ketika itu
 sangat bahaya. Kerabatnya yang terdekat iaitu Abdullah bin Abbas telah 
bersungguh-sungguh mencoba menghalangi Sayyidina Hussin namun Sayyidina Hussin tetap dengan pendiriannya. Kemudian Abdullah menasehainya
 pula agar jangan membawa ahli-ahli keluarga karena bimbang jika apa 
yang menimpa Khalifah Uthman bin Affan juga akan menimpa Sayyidina 
Hussin. Sewaktu Khalifah Uthman dibunuh oleh pemberontak, peristiwa itu 
disaksikan oleh ahli keluarganya sendiri. Abdullah bimbang jika keluarga
 dan keturunan Rasulullah SAW akan dibunuh semuanya.
Sayyidina Hussin 
tetap mau membawa keluarganya bersama. Maka akhirnya rombongan Sayyidina
 Hussin yang terdiri dari 72 orang pun berangkat ke Kufah. Kebanyakan 
anggota rombongan adalah wanita dan kanak-kanak termasuk anak Sayyidina 
Hussin iaitu Ali Zainal Abidin yang sedang meningkat remaja. 
Ada pihak memberitahu Yazid bahwa Sayyidina Hussin hendak merampas kuasa. Maka Yazid telah menghantar tentaranya untuk menghalangi
 Sayyidina Hussin dari dibaiat oleh pendududk Kufah. Ada riwayat yang 
menyatakan bahwa Yazid cuma mengarahkan tenteranya untuk mengintrogasi, bukan untuk membunuh Sayyidina Hussin dan keluarganya. Namun, apa yang berlaku seterusnya sungguh sangat menyayat hati.
Rombongan Sayyidina Hussin yang seramai 72 orang itu terpaksa berhadapan dengan tentara Yazid sebanyak
 4000 orang! Terjadilah peristiwa berdarah di Karbala. Pembunuhan kejam 
terhadap kaum keluarga Rasulullah SAW di Karbala itu berlaku pada 10 
Muharram tahun 61 Hijrah. Pertempuran itu telah menyebabkan hampir 
seluruh anggota rombongan Sayyidina Hussin dibunuh. 
Pertempuran itu 
berlaku dari waktu subuh hingga ke waktu Asar. Sungguhpun rombongan 
Sayyidina Hussin, kecil jumlahnya namun mereka bermati-matian 
mempertahankan diri. Dalam perang itu, Sayyidina Hussin menunjukkan 
keberanian luar biasa. Walaupun dalam keadaan sulit dan bahaya, beliau 
sempat mengerjakan solat Zuhur dan Asar.
Apabila hampir senja,
 tinggal beberapa orang saja dari kalangan keluarga Sayyidina Hussin 
sedangkan pihak musuh telah kehilangan hampir 1000 orang tentaranya.
 Pertempuran yang berlangsung begitu lama menunjukkan betapa hebatnya 
Sayyidina Hussin dan anak-anak buahnya menentang musuh. Akhirnya
 Sayyidina Hussin menemui ajalnya apabila sebatang anak panah tiba-tiba 
mengenai tubuhnya, tepat di bagian jantungnya. Dalam keadaan berlumuran 
darah dan amat letih setelah sehari suntuk berperang, Sayyidina Hussin menghembuskan nafasnya yang terakhir di padang Karbala itu. 
Kata-kata terakhir yang diucapkannya,
“Oh Tuhan, mereka telah membunuh putera Nabi Mu sedangkan di dunia ini tiada lagi putera Nabi selain aku.”
Dalam perang itu mereka yang selamat adalah wanita dan kanak-kanak 
termasuklah adik Sayyidina Hussin, iaitu Zainab Al Kubra dan anak 
Sayyidina Hussin iaitu Ali Zainal Abidin. Ali Zainal Abidin
 lah yang menjadi penyambung keturunan Rasulullah. Dia juga nyaris 
dibunuh tetapi Tuhan mengkehendaki agar bersambungnya keturunan 
Rasulullah, maka dia selamat.
Kepala Sayyidina Hussin telah dipotong dan dihantar kepada Yazid. Menurut
 sejarah, Yazid menangis apabila melihat kepala cucu Rasulullah itu. 
Beliau mengarahkan agar kepala itu dihantar ke Madinah berserta keluarga
 dan anaknya, dengan upacara kehormatan dan kemuliaan. Tubuh Husain 
dikuburkan di Karbala, sedangkan kepalanya ditanam di Madinah, 
bersebelahan dengan makam ayah dan ibunya.
Demikainlah 
perginya cucu kesayangan Rasulullah SAW itu. Dia menjadi korban 
keganasan fitnah oleh golongan yang cinta dunia. Menurut suatu 
keterangan sejarah, tiada seorang pun dari mereka yang terlibat dalam 
pembunuhan Sayyidina Hussin dan ahlul bait di Karbala itu selamat. Allah
 telah menyegerakan hukuman untuk mereka di dunia lagi. Ada yang mati 
dibunuh, ada yang jadi buta, ada yang mukanya jadi hitam dan macam-macam
 lagi. Bahkan ada yang kehilangan kuasanya dalam waktu yang singkat. 
Mereka berniat untuk membunuh keturunan Rasulullah SAW tetapi Allah 
menyelamatkan Ali Zainal Abidin, anak lelaki tunggal Sayyidina Hussin sebagai penyambung zuriat baginda. Dari Ali Zainal Abidin, lahir ramai keturunan yang mulia dan suci ini.

0 komentar:
Post a Comment
Terima Kasih Telah Berkunjung di khazanahislamku.blogspot.com
Berikan Komentar dengan Penuh ETIKA untuk kita Diskusikan bersama