Rasulullah SAW sangat sayang pada cucu-cucunya. Terdapat banyak peristiwa yang menunjukkan betapa mendalamnya kasih baginda terhadap mereka. 
Sewaktu Sayyidina
 Hassan dan Hussin masih kecil, apabila Rasulullah SAW sembahyang, 
baginda meletakkan mereka di sampingnya. Kedua-dua cucunya ini 
memperhatikan gerak gerik baginda dalam 
sembahyangnya. Bahkan, ketika baginda sujud, kedua-dua anak itu melompat
 ke belakang baginda. Maka ada seseorang yang mencoba melarang kanak-kanak itu, tapi baginda mengisyaratkan supaya dibiarkan saja kedua-dua cucunya bermain di belakangnya.
Jika Rasulullah SAW hendak mengerjakan sembahyang, maka baginda meletakkan Hasan dan Husain. Kemudian baginda bersabda:
“Sesiapa yang kasih kepadaku hendaklah ia kasih kepada yang dua ini (Hasan dan Husain).
Pada suatu hari 
Rasulullah SAW keluar bertemu dengan kaum muslimin, sedang bersamanya 
ada Hasan dan Husain. Seorang di bahu kanan dan yang seorang lagi di 
bahu kiri. Baginda mencium Hasan, kemudian mencium Husain pula.
Ketika Rasulullah
 SAW membawa Hasan dan Husain, tiba-tiba seorang lelaki bertanya kepada 
baginda, “Ya Rasulullah, apakah engkau sangat cinta kepada mereka 
berdua?” Baginda terus menjawab, “Sudah tentu. Sesiapa yang mengasihi 
kedua cucuku ini maka bererti telah mengasihi aku, dan sesiapa yang 
memarahinya bererti ia memarahi aku.”
Umar bin Khattab 
pernah menyaksikan Rasulullah SAW sedang mengendong Hasan dan Husain, 
seorang di bahu kanan dan yang seorang lagi di bahu kiri baginda. Maka 
Umar berkata kepada Hasan dan Husain, “Kuda yang paling baik ialah di 
bawah kamu (Rasulullah).” Rasulullah melirik kepada cucunya lalu 
berkata, “Dan penunggang kuda yang paling mahir adalah kamu berdua.”
Di dalam rumahnya
 sendiri, Rasulullah SAW membawa Hasan dan Husain di atas belakangnya, 
kemudian baginda berjalan dengan tangan dan kaki sambil berkata: “Unta 
yang paling baik ialah unta kamu, dan sebaik-baik pasangan ialah kamu 
berdua.”
Pada suatu hari 
Rasulullah SAW diundang makan ke rumah seorang Sahabat. Ketika baginda 
dan para Sahabat berjalan menuju rumah orang yang mengundang makan itu, 
baginda melihat Husain sedang bermain-main dengan kanak-kanak di tengah 
jalan. Baginda ingin bergurau dengan Husain, maka baginda berjalan lebih
 laju sehingga baginda agak ke depan berbanding rombongannya. Apabila 
tiba dekat Husain, baginda membuka kedua-dua tangannya sambil 
mengisyaratkan supaya Husain melompat kepadanya. Lalu Husain melompat ke
 arah baginda dan beliau tertawa sambil mendakap serta mencium Husain 
sambil bersabda:
“Husain sebagian dari diriku, dan aku sebagian darinya. Allah mengasihi orang yang mengasihi Husain.”
Pernah berlaku, ketika para Sahabat duduk di sekeliling Rasulullah SAW ketika matahari  hampir tenggelam, maka datang orang memberitahu baginda bahwa Hasan dan Husain telah hilang entah ke mana.
Mendengar yang demikian membuat Rasulullah takut lalu berkata kepada para Sahabat, “Bangkitlah kamu, pergi cari anakku!”
Kemudian baginda 
mengajak salah seorang di antara Sahabat ikut bersamanya. Rasulullah SAW
 menyeru semua Sahabat supaya sama-sama mencari Hasan dan Husain sebelum
 malam tiba, tapi tidak juga ditemui. Tiba di suatu tempat, melihat 
Hasan dan Husain berpelukan dan amat ketakutan karena di hadapan mereka 
ada seekor ular besar yang dari mulutnya keluar api.
Dengan pantas, 
Rasulullah SAW mengambil perhatian ular itu supaya beralih kepadanya. 
Tidak lama kemudian ular itu pergi ke celah-celah batu. Baginda terus 
mengambil Hasan dan Husain, memisahkan keduanya, lalu menyapu wajah 
keduanya. Sambil memeluk keduanya, Rasulullah SAW bersabda:
“Demi ayah dan ibuku, kamu berdua teramat mulia di sisi Allah.”
Sesudah itu 
barulah nafas Hasan dan Husain kembali seperti biasa. Kemudian baginda 
pun mengangkat keduanya, seorang ke bahu kanan dan seorang lagi ke bahu 
kirinya.
Pernah berlaku, 
Rasulullah sudah berdiri di atas mimbar, lalu baginda berkhutbah kepada 
umat Islam. Maka datanglah Husain ke dalam masjid sedangkan di lehernya 
ada perca kain yang ditarik dan dihulur-hulurkannya.
Husain pun 
berjalan di celah-celah jemaah Jumaat yang sedang duduk mendengar 
khutbah dari Rasulullah. Perca kain itu dihulur dan ditarik-tariknya. 
Tiba-tiba kaki Husain tersandung lalu jatuh dengan mukanya ke tanah.
Melihat itu, 
Rasulullah SAW meluru ke arah Husain. Apabila orang lain melihat baginda
 datang, maka mereka cepat mengambil Husain dan memberikannya kepada 
baginda. Husain diciumi Rasulullah sambil mengucapkan:
“Semoga Allah membunuh syaitan, dan sesungguhnya anak adalah fitnah.”
Ketika itulah 
baginda memandang kepada sidang jemaah sambil meminta maaf. Baginda 
berkata, “Demi Allah, aku tidak sedar telah turun dari mimbar hinggalah 
aku mendatanginya (Husain).”
Pernah Rasulullah
 SAW masuk ke rumah puterinya Fatimah bertujuan untuk berziarah dan 
memberi ketenangan jiwa kepadanya, lalu baginda bertanya tentang keadaan
 dirinya dan rumah tangganya. Baginda juga bertanya tentang suami dan 
anak-anaknya.
Rasulullah 
berkata kepada Fatimah, “Suruhlah suami dan anak-anakmu datang ke mari.”
 Lalu Fatimah memanggil mereka semua, maka mereka pun datang sambil 
memberi salam kepada Rasulullah dan menyambut kedatangan baginda dengan 
gembira. Dalam kesempatan itu Rasulullah bergurau senda dan beramah 
mesra dengan mereka.
Setelah suasana telah tenang maka baginda menyuruh mereka duduk di hadapannya lalu baginda berdoa untuk mereka:
“Ya Allah, mereka
 ini adalah keluarga Muhammad. Berikan rahmat dan keberkatan-Mu kepada 
mereka sebagaimana telah Engkau berikan kepada keluarga Ibrahim. 
Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Mulia. Ya Allah, inilah 
keluargaku, hilangkanlah dari mereka kekotoran dan bersihkan mereka 
dengan kesucian. Ya Allah, redhailah mereka sebagaimana aku redha kepada
 mereka.”
“Tetaplah kamu dalam rumahmu dan janganlah kamu berhias seperti 
dandanan perempuan jahiliyah yang dahulu, dan dirikanlah sembahyang dan 
bayarkanlah zakat, dan ikutlah Allah dan Rasul-Nya. Allah hanya 
mengkehendaki, supaya Dia menghilangkan kekotoran (dosa) daripadamu, hai
 ahlul bait dan supaya Dia membersihkan kamu dengan sebersih-bersihnya.”
QS Al Ahzab: 33

0 komentar:
Post a Comment
Terima Kasih Telah Berkunjung di khazanahislamku.blogspot.com
Berikan Komentar dengan Penuh ETIKA untuk kita Diskusikan bersama