Imam Bukhari meriwayatkan, bahawa Abu Dzar dan Bilal al-Habasyi
saling bercaci-maki sampai memuncak kemarahannya. Kemudian Abu Dzar
berkata kepada Bilal: Hai anaknya perempuan hitam! Mendengar ucapan itu,
Bilal mengadu kepada Nabi. Maka kata Nabi kepada Abu Dzar:
“Hai Abu Dzar, apakah kau caci dia sebab ibunya? Kalau begitu sungguh
kamu seorang yang masih diliputi perasaan jahiliah.” (Riwayat Bukhari)
Dari Abu Dzar, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah berkata
kepadanya: ‘Lihatlah, sesungguhnya engkau tidak lebih baik daripada
orang yang berkulit merah dan tidak pula lebih dari orang yang berkulit
hitam, melainkan kamu lebihkan dirimu dengan taqwalah.’ (Riwayat Ahmad)
Dan sabdanya pula: ”Semua kamu keturunan Adam, sedang Adam dicipta dari tanah.” (Riwayat Bazzar)
Dengan demikian, Islam mengharamkan setiap muslim berjalan mengikuti
perasaan jahiliah, dalam persoalan menyombongkan diri kerana nasab dan
keturunan, kerana ayah dan datuk. Seperti apa yang biasa dikatakan oleh
satu sama lain: saya anak si anu, saya keturunan anu, sedang engkau asal
dari keturunan anu. Saya berkulit putih sedang engkau hitam. Saya orang
Arab sedang engkau bukan orang Arab.
Apa nilai keturunan ini kalau mereka itu semua juga berasal dari satu
keturunan? Misalkan nasab itu mempunyai nilai, tetapi apa kelebihan
seseorang atau apa pula dosanya kalau dia berasal dari keturunan ayah
ini dan ayah itu?
Rasulullah pernah bersabda: “Sesungguhnya nasab-nasabmu ini bukan
menjadi sebab kamu boleh mencaci kepada seseorang; kamu semua adalah
anak-cucu Adam … Tidak ada seorangpun yang melebihi orang lain,
melainkan kerana agama dan taqwanya …” (Riwayat Ahmad)
Dan sabdanya pula: “Manusia seluruhnya berasal dari Adam dan Hawa.
Sedang Allah tidak menanyaimu tentang keturunanmu dan nasabmu nanti pada
hari kiamat; sesungguhnya semulia-mulia kamu di hadapan Allah ialah
orang yang paling taqwa di antara kamu.” (Riwayat Ibnu Jarir)
Rasulullah s.a.w. telah menumpahkan kemarahannya kepada orang-orang
yang menyombongkan diri lantaran ayah dan datuk-datuknya, dengan
ungkapan yang tajam dan menggetarkan hati. Beliau mengatakan:
“Hendaklah orang-orang yang menyombongkan ayah-ayahnya yang sudah
mati itu mahu berhenti. Mereka yang demikian itu hanyalah bara neraka.
Atau mereka itu lebih rendah di hadapan Allah daripada kumbang yang
mengguling-gulingkan tahi dengan hidungnya; Allah telah menghapuskan
kesombongan jahiliah dan kecongkakannya lantaran ayah. Seseorang ada
yang beriman dan bertaqwa, dan ada juga yang durhaka dan celaka; manusia
seluruhnya anak-cucu Adam, sedang Adam dibuat dari tanah.” (Riwayat Abu
Daud, Tarmizi dan Baihaqi dengan sanad hasan)
Hadis ini merupakan satu peringatan kepada orang-orang yang
menganggap besar lantaran nenek-moyangnya dulu adalah keturunan
raja-raja dan kaisar. Mereka yang demikian itu hanyalah bara neraka
jahanam, seperti penegasan Rasulullah s.a.w. di atas.
Dalam Haji Wada’ yang dihadiri oleh beribu-ribu manusia yang ingin
mendengarkan tentang Islam di bulan haram dan di tanah haram, Rasulullah
s.a.w. pernah menyampaikan pidatonya yang dikenal dengan Khuthbatul
Wada’ (khutbah perpisahan). Dalam khutbah itu Rasulullah menegaskan
beberapa prinsip, yang bunyinya sebagai berikut:
“Hai ummat manusia! Sesungguhnya Tuhanmu hanyalah satu. Ingatlah!
Tidak ada kelebihan bagi orang Arab atas orang lain Arab; tidak pula ada
kelebihan bagi orang lain Arab atas orang Arab; tidak juga ada
kelebihan orang yang berkulit merah atas orang kulit hitam; dan tidak
pula orang kulit hitam atas orang kulit merah, melainkan lantaran taqwa,
sebab sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu ialah yang
paling bertaqwa kepada Allah.” (Riwayat Baihaqi)
0 komentar:
Post a Comment
Terima Kasih Telah Berkunjung di khazanahislamku.blogspot.com
Berikan Komentar dengan Penuh ETIKA untuk kita Diskusikan bersama