Merasa sial kerana sesuatu, tempat, waktu, seseorang dan
sebagainya adalah termasuk ramalan yang sangat laku di pasaran, secara
berkelompok atau perorangan.
Di zaman dahulu pernah juga terjadi demikian, misalnya tentang kaum Nabi Saleh, mereka ini berkata kepadanya:
“Kami merasa sial sebab kamu dan orang-orang yang bersamamu.” (an-Naml: 47)
Fir’aun dan kaumnya apabila ditimpa suatu musibah, mereka menganggap
kesialannya itu kerana Musa dan orang-orang yang bersamanya [1].
Dan ramai pula orang-orang kafir yang sesat itu kalau mendapat bala’
dari Allah, mereka kemudian berkata kepada para juru da’wah dan Rasul:
“Kami merasa sial sebab kamu semua.” (Yasin:18)
Tetapi para Rasul itu kemudian menjawab:
“Kesialanmu itu sebab kamu sendiri.” (Yasin: 19)
Yakni sebab-sebab kesialanmu itu ada pada kamu sendiri, iaitu lantaran kamu kufur, ingkar dan memusuhi Allah dan RasulNya.
Orang-orang Arab jahiliah dalam segi ini mempunyai doa yang panjang
dan bermacam-macam kepercayaan. Sehingga datanglah Islam kemudian
dihapusnya dan mereka dikembalikan untuk mengikuti jalan fikiran yang
lurus.
Rasulullah merangkaikan ramalan dan sihir dalam satu susunan, seperti
sabdanya: “Bukan dari golongan kami siapa yang merasa sial, atau minta
diramalkan kesialannya, atau menenung, atau minta ditenungkan, atau
mensihir, atau minta disihirkan.” (Riwayat Thabarani)
Dan sabdanya pula: “Membuat garis di tanah, menganggap sial kerana
alamat dan melempar kerikil kerana ada suatu kepercayaan, adalah
termasuk menyembah selain Allah.” (Riwayat Abu Daud, Nasa’i dan Ibnu
Hibban)
Tathayyur, satu hal yang berdiri tanpa landasan ilmu pengetahuan atau
suatu kenyataan yang benar. Tathayyur, hanya berjalan mengikuti
kelemahan dan membenarkan dugaan yang salah (waham). Kalau tidak
demikian, apa artinya seorang yang berakal percaya mendapat sial kerana
seseorang, atau kerana tempat, kerana dengkurnya suara burung, geraknya
mata atau terdengarnya suatu perkataan?!
Apabila nalurinya manusia itu ada kelemahan, maka akan mengalir pada
dirinya suatu anggapan sial kerana sesuatu. Seharusnya dia tidak mahu
menerima kelemahan ini. Lebih-lebih apabila dia sudah sampai pada fase
bekerja dan pelaksanaan.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Ada tiga perkara yang tidak boleh
selamat satupun, iaitu: menuduh, tathayyur dan hasud. Oleh kerana itu
kalau kamu menuduh jangan kamu nyatakan, dan kalau merasa sial jangan
surut (jangan kamu gagalkan pekerjaanmu), dan kalau kamu hasud, jangan
lanjutkan.” (Riwayat Thabarani)
Oleh kerana ketiga perkara ini hanya semata-mata perasaan yang tidak
berpengaruh pada suatu sikap dan perbuatan, maka dimaafkannya oleh
Allah. Dan diriwayatkan pula dari Ibnu Mas’ud, Rasulullah s.a.w.
bersabda: “Tathayyur (merasa sial) adalah syirik.” 3 kali.
Dan Ibnu Mas’ud sendiri berkata: ” …tetapi Allah akan menghilangkannya dengan tawakkal.” (Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)
Apa yang dimaksudkan oleh Ibnu Mas’ud itu, ialah: setiap orang di
antara kita ini ada perasaan-perasaan seperti itu, tetapi perasaan
semacam ini akan hilang lenyap dari hati orang yang selalu tawakkal dan
tidak membiarkan perasaannya itu tinggal dalam hati.
0 komentar:
Post a Comment
Terima Kasih Telah Berkunjung di khazanahislamku.blogspot.com
Berikan Komentar dengan Penuh ETIKA untuk kita Diskusikan bersama