Kisah Kehidupan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم dan Para Sahabat رضي الله عنهم
Ummu
'Umarah rha atau dikenal juga sebagai Ummu Sulaim rha. telah dirahmati
dengan berbagai kehormatan, diantaranya adalah kehadiran beliau di Uhud,
al-Hudaibiyyah, Khaibar, Hunain dan Peperangan Yamamah. Namun peranan
beliau yang paling mulia adalah ketika Peperangan Uhud.
Ummu
'Umarah rha telah menyertai peperangan tersebut bersama suaminya,
Ghaziya, berserta dua orang anak lelaki beliau. Tugas yang
dipertanggungjawabkan ke atas beliau adalah untuk memberi air kepada
para Mujahid yang cedera. Akan tetapi Allah SWT telah menetapkan satu
peranan yang lebih besar dan mulia untuk beliau. Maka beliau pun
mengatur langkah bersama-sama dengan keluarga beliau dengan sebuah
Qirbah (tempat air terbuat dari kulit kambing) untuk mengisi air. Mereka
tiba di medan perang pada awal pagi hari. pasukan Islam, ketika itu,
sedang menguasai peperangan dan beliau telah pergi melihat keadaan
Rasulullah SAW. Pada masa yang sama sebilangan pasukan Islam telah
membuat satu kesilapan yang teramat besar - melihat pasukan Quraish
mundur, mereka mulai berlari-berkejaran mendapatkan harta-benda rampasan
perang, melanggar perintah Rasulullah SAW supaya tetap di posisi mereka
di atas bukit.
Khalib
bin Walid, (yang ketika itu belum lagi memeluk Islam), apabila melihat
benteng pertahanan yang telah terbuka itu kemudian memimpin serangan
balasan ke atas pasukan Islam. Kemenangan peperangan beralih kepada
pihak Quraish. Dalam suasana kalang kabut itu, banyak dari kalangan
pasukan Islam panik dan mundur, meninggalkan Rasulullah SAW bersama-sama
sekumpulan kecil para Sahabat ra . Di kalangan mereka ini termasuklah
Ummu 'Umarah rha.
Melihat
ramai dari kalangan pasukan Islam yang mundur, Ummu 'Umarah rha
kemudian berlari ke arah Rasulullah SAW dan mengangkat senjata demi
mempertahankan baginda SAW, bersama-sama dengan suami dan kedua anak
lelakinya. Rasulullah SAW menyadari yang Ummu 'Umarah rha tidak
mempunyai perisai kemudian baginda SAW memerintahkan kepada salah
seorang daripada mereka yang sedang berundur supaya memberikan
perisainya kepada Ummu 'Umarah rha yang sedang bertarung. Setelah
mendapat perisai tersebut, Ummu 'Umarah rha mempertahankan Rasulullah
SAW menggunakan busur, anak panah dan juga pedang.
Ummu
'Umarah rha diserang oleh pasukan berkuda tetapi beliau tidak sekalipun
gentar atau merasa takut. Beliau kemudian telah berkata, "Apabila
mereka itu tidak berkuda seperti kami, niscaya telah kami hancurkan
mereka, insya-Allah." Abdullah ibn Zayed, anak lelaki beliau, telah
mengalami cedera ketika peperaang tersebut. Lukanya itu berdarah banyak
sekali. Ibunya berlari kepadanya dan membalut lukanya itu. Kemudian Ummu
'Umarah rha memerintahkan anak lelakinya itu, "Majulah dan perangi
mereka, anakku!" Rasulullah SAW mengagumi semangat pengorbanan beliau
dan telah memuji beliau, "Siapakah yang dapat menanggung apa yang kamu
mampu tanggung, Ummu 'Umarah!" Tiba-tiba lelaki yang telah menlukai anak
lelakinya mendekat dan Rasulullah SAW berkata kepada beliau bahwa
inilah lelaki yang melukai anaknya. Ummu 'Umarah rha dengan berani
menantang lelaki tersebut, yang menurut anak Ummu 'Umarah rha sendiri,
adalah seperti pohon perdu yang besar. Ummu 'Umarah rha melukai kaki
musuhnya itu, menjatuhkannya sehingga berlutut. Rasulullah SAW tersenyum
sehingga menampakkan gigi baginda SAW dan berkata, "Kamu telah
membalasnya, Ummu 'Umarah!" Setelah lelaki tersebut dibunuh, Rasulullah
SAW kemudian berkata "Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kamu
kemenangan dan menggembirakan kamu atas musuh kamu dan mengizinkan kamu
dapat menuntut balas."
Pada
satu ketika, Rasulullah SAW telah tertinggal seorang diri. Melihat
peluang keemasan itu, pihak musuh, Ibn Qumay'a segera menyerang
Rasulullah SAW sambil menjerit "Tunjukkan Muhammad padaku! Aku takkan
selamat sekiranya dia diselamatkan!". Kemudian Mus'ab ibn 'Umayr ra,
bersama-sama dengan beberapa orang sahabat yang lain, bergegas
mempertahankan Rasulullah SAW. Ummu 'Umarah rha yang turut bersama-sama
dengan mereka terus menebas musuh Allah itu, walaupun dia memakai dua
lapis baju besi. Ibn Qumay'a berjaya melukai bagian leher Ummu 'Umarah
rha, dan meninggalkan luka yang parah. Rasulullah SAW terus memanggil
anak lelaki Ummu 'Umarah rha, memerintahkannya membalut luka ibunya
sambil mendoakan kerahmatan dan kesejahteraan ke atas mereka dan
menyatakan kemuliaan mereka. Ummu 'Umarah rha, bila menyadari Rasulullah
SAW menyukai kesungguhan dan keberanian beliau, kemudian meminta
Rasulullah SAW supaya berdoa agar mereka dijadikan Allah di kalangan
sahabat-sahabat Rasulullah SAW di syurga nanti. Setelah Rasulullah SAW
berdoa, Ummu 'Umarah rha kemudian berkata, "Aku tidak pedulikan apa saja
yang menimpaku di dunia ini!" Pada hari tersebut, Ummu 'Umarah rha
menerima tiga belas luka dan luka di lehernya yang terpaksa dirawat
selama setahun.
Beliau
kemudiannya juga menyertai Peperangan Yamamah, di mana beliau menerima
sebelas luka dan kehilangan tangan. Keberanian Ummu 'Umarah rha
menyebabkan semua para Sahabat ra menghormati beliau, terutama para
Khalifah yang akan mengunjungi beliau dan senantiasa memperhatikan
keadaan beliau. Umar ibn Khattab ra telah menerima kain-kain sutera yang
sangat bagus buatannya. Salah seorang yang berada di situ berkata
bahawa kain tersebut sangat mahal dan Umar ra sebaiknya memberikannya
kepada isteri Abdullah ibn Umar ra, Safiyya bint Abu 'Ubayd. Umar ra
walaubagaimanapun tidak mau memberikan kain tersebut kepada menantunya.
"Ini adalah sesuatu yang tidak akan kuberikan kepada ibn Umar. Aku akan
berikan kepada seseorang yang lebih berhak keatasnya - Ummu 'Umarah
Nusayba bint Ka'b rha." Umar ra kemudian menceritakan bagaimana ketika
Peperangan Uhud, beliau mendengar Rasulullah berkata bahawa apabila
baginda SAW melihat ke kiri maupun ke kanan, baginda melihat Ummu
'Umarah rha sedang bertarung di hadapan baginda SAW.
Inilah
kehidupan Ummu 'Umarah rha, pejuang yang tetap berdiri apabila ramai
yang mundur, yang menyuruh anaknya yang cedera parah kembali menyertai
peperangan yang sengit, dan yang siap menggadaikan nyawanya demi
menyelamatkan Rasulullah SAW. Sebagai balasan, beliau menerima doa agar
dijadikan di kalangan sahabat Rasulullah SAW di syurga. Moga Allah SWT
merahmati para Muslimah kita dengan keberanian, semangat pengorbanan dan
istiqamah yang sedemikian.
Artikel ini telah dipublikasikan dalam majalah Nida'ul Islam, Februari 1998.
Hamzah Qassim
0 komentar:
Post a Comment
Terima Kasih Telah Berkunjung di khazanahislamku.blogspot.com
Berikan Komentar dengan Penuh ETIKA untuk kita Diskusikan bersama